Perkara Asas Membina RESUME





8 Perkara asas membina resume.

Saya gunakan perkataan membina dan bukan mencipta atau mereka atau menulis  resume. Anda perlu bina resume dengan asas yang kukuh untuk menyokong masa depan karier anda!

1) Butir peribadi/Personal details
Ini termasuk nama, alamat, nombor telefon yang aktif dan alamat email. Jika boleh, tuliskan waktu yang sesuai untuk menghubungi anda. Pastikan tiada kesilapan walau satu angka pun – anda akan menyesal jika peluang kerja terlepas ke tangan orang lain hanya kerana ini!

Beri alamat e-mail yang sesuai, bukan alamat seperti ini; akucomel@hotmail, sexylady@yahoo, machoguy@lycos
Jika anda kebetulan ada alamat seperti di atas, tolonglah…wujudkan alamat e-mail baru. Anda mahu bakal majikan menilai anda sebagai seorang yang serius untuk mencari kerja.

2) Objektif/Objective
Tujuan objektif adalah memaklumkan bakal majikan mengenai jawatan yang diperlukan. Anda perlu mereka objektif yang kuat tapi ringkas (kurang dari 20 perkataan) untuk menarik perhatian majikan.

3) Pendidikan/Education
Senaraikan pendidikan terkini mengikut urutan ke bawah. Beri maklumat mengenai subjek yang diikuti dan juga pencapaian anda untuk memberitahu majikan bahawa anda mempunyai pengetahuan asas yang diperlukan untuk jawatan yang dipohon. Masukkan juga maklumat projek tahun akhir di universiti.

4) Pengalaman Kerja/Work experience
Sekiranya anda mempunyai pengalaman bekerja semasa cuti semester atau cuti sekolah, tulislah. Tak kisah apa jenis pekerjaan pun. Ini akan memberi kelebihan kepada anda berbanding calon lain.
Jika tidak pernah bekerja, tulis pengalaman semasa latihan praktikal.

5) Aktiviti Kurikulum/Curriculum activities
Anda seorang yang aktif semasa belajar? Masukkan aktiviti yang penting dan memberi impak besar kepada sekolah atau universiti seperti wakil universiti dalam perbahasan, Ketua Pengawas dan program pertukaran pelajar. Hadkan kepada 10 sahaja. Kalau kurang aktif, boleh masukkan semua aktiviti yang anda sertai.

6) Kemahiran/Skill
Pelajar sekarang ramai yang tahu mengendalikan program komputer dengan baik. Tidak seperti masa zaman saya, habis sekolah mesti masuk kelas komputer. Jadi, tulis semua kemahiran komputer yang anda tahu (Microsoft Word, Excel dll) atau kemahiran bercakap dan menulis dalam pelbagai bahasa.

Jika anda yakin, boleh juga masukkan kemahiran peribadi seperti boleh menyelesaikan masalah dengan baik, berkeinginan belajar perkara baru, cepat belajar dan sebagainya.

7)  Hobi/Hobby
Hanya tulis hobi yang menarik dan membina peribadi. Suka tidur? Majikan mungkin akan berfikir banyak kali sebelum mengambil anda bekerja! Jika anda suka bermain permainan video, tulis kelebihan  hobi tersebut (merangka strategi, penyelesaian masalah, pengurusan inventori) supaya majikan tidak akan menganggap anda membuang masa dengan hobi itu.

Ramai orang mempunyai hobi membaca. Kalau dapat, tulis jenis bahan bacaan yang menarik minat anda.
Mungkin anda rasa hobi ini tidak penting, tapi anda perlu tahu, jika terdapat ramai calon yang mempunyai kelayakan seperti anda, majikan mungkin akan memilih calon yang mempunyai hobi yang menarik atau hobi yang sama dengannya!

8 ) Rujukan/Reference
Ada orang kata tidak perlu menyertakan nama rujukan pada resume. Anda ada 2 pilihan. Letak atau tidak. Jika tidak mahu letak nama, pada bahagian rujukan anda boleh tulis; Reference is available upon request. Tapi anda perlu bersedia dengan nama rujukan pada kertas lain jika diminta. Pada saya, baik anda letak nama rujukan siap-siap. Senang cerita.

Anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang dari kategori profesional sebagai wakil orang yang boleh dirujuk dari pihak anda. Biasanya graduan akan tulis nama penyelia projek tahun akhir dan salah seorang pensyarah semasa di universiti.
Pastikan rujukan yang anda pilih adalah orang yang boleh memberi maklumbalas positif terhadap anda jika ditanya oleh majikan.

 
OK, jika anda ada kesemua 8 perkara asas membina resume ini, anggaplah anda sudah berjaya meletakkan satu lagi kaki di pejabat majikan (satu kaki lagi dari surat iringan yang power!).  Anda cuma perlu pastikan maklumat yang diberi adalah benar dan jujur. Kalau nak tipu sikit pun, pastikan anda ada alasan yang kukuh dan jangan sampai kantoi!

Kongsikan Cerita Kami...(^-^)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...